Template by:
Free Blog Templates

Wednesday, June 24, 2009

Peluang Mahkamah ubah skrip konspirasi ‘98

Peluang Mahkamah ubah skrip konspirasi ‘98

Fakta 1: Dua laporan perubatan mengesahkan pengadu tidak diliwat.

Fakta 2: Pengadu sendiri disahkan berjumpa dengan Perdana Menteri (yang juga musuh politik utama tertuduh) sebelum membuat aduan kepada polis.

Fakta 3: Pengadu kemudiannya dirujuk kepada pegawai polis tertinggi yang disabit memalsukan keterangan pada perbicaraan tertuduh sebelumnya.

Berdasarkan hakikat ini, sukar mempercayai Jabatan Peguam Negara masih berkeras untuk mendakwa Anwar Ibrahim atas tuduhan liwat bagi kali kedua. Tetapi itulah yang akan berlaku KECUALI badan kehakiman bertindak waras dan membatalkan pertuduhan itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan berpeluang berbuat demikian apabila mendengar permohonan peguam Anwar untuk pertuduhan itu ditarikbalik kerana berniat jahat dan menyalahi proses mahkamah.

Sayugia diingatkan pendakwaan terhadap Anwar adalah dibawah telunjuk Peguam Negara Gani Patail – yang dinamakan terang dan jelas oleh Pegawai Penyiasat Polis Datuk Mat Zain Ibrahim sebagai orang bertanggungjawab memalsukan bukti dalam kes mata lebam Anwar.

Setakat ini semua yang terbabit dalam kes liwat ini mempunyai motif tersendiri untuk memastikan Anwar kembali ke penjara Sungei Buloh selepas merengkok enam tahun disana akibat konspirasi pusingan pertama.

Konspirasi ketika itu didalangi Mahathir Mohamad dan membabitkan Polis, Jabatan Peguam Negara dan paling mendukacitakan, institusi kehakiman yang menjadi satu daripada tonggak sistem demokrasi negara ini.

Siapakan dalang pada pusingan kali ini? Persoalan itu sudah pun lengkap dengan jawapan tertentu yang pasti akan diperkuatkan dengan hujah peguam dan keterangan saksi sewaktu perbicaraan.

Persoalan lebih penting ialah apakah perbicaraan itu perlu?.

Haruskah pendakwaan terhadap Anwar diteruskan dengan bersandar kepada “bukti” yang ada atau lebih tepat lagi, bukti yang tidak pun wujud?

Pengamal undang-undang dan orang ramai tertanya-tanya – bagaimanakan seseorang boleh dituduh meliwat jika laporan perubatan dari dua hospital – kerajaan dan swasta – mengesahkan mangsanya tidak diliwat.

Laporan dari Hospital Pusrawi dan Hospital Kuala Lumpur senada dalam pemeriksaan yang dijalankan terhadap Saiful Bukhari Azlan iaitu tidak ada bukti klinikal yang menunjukkan beliau diliwat sebagaimana yang didakwanya.

Jika alasan yang diberikan sebelum ini ialah pemeriksaan oleh doktor di Hospital Pusrawi tidak dilakukan oleh pakar, hakikat ialah laporan HKL diperakukan oleh tiga pakar.

Tidak dapat dinafikan bukti yang dimiliki pendakwaraya amat rapuh dan di kebanyakan negara, tidak cukup untuk memenuhi keperluan minimum membawa sesuatu pertuduhan ke mahkamah.

Kedegilan kerajaan untuk meneruskan pendakwaan teradap Anwar dengan ‘bukti’ sebegitu rupa amat mencurigakan.

Lebih penting, ia menimbulkan tanggapan bahawa konspirasi 1998 berulang dengan polis dan pendakwaraya bersekongkol membawa masuk bukti rekacipta bagi mensabitkan Anwar dan menghantar beliau kembali ke Sungei Buloh sekali lagi.

Jika ini berlaku, sandiwara politik akan bercambah menjadi sandiwara mahkamah dan sistem keadilan Malaysia sekali lagi akan menjadi bahan ejekan di kaca mata antarabangsa.

Pengamal undang-undang sebulat suara bersetuju laporan perubatan terhadap Saiful oleh HKL dan Hospital Pusrawi hendaklah menjadi asas atau paksi menentukan kesahihan dakwaan beliau.

Justeru apabila pakar perubatan kerajaan di HKL khususnya mendapati tidak ada bukti untuk menyokong tuduhan itu, polis dan pendakwaraya sepatutnya mengklasifikasikan tuduhan berkenaan sebagai NFA atau No Further Action (Tiada tindakan lanjut).

Langkah susulan seharusnya ialah polis menyiasat Saiful pula kerana membuat laporan palsu.

Tetapi peluang untuk polis dan peguam negara mempamerkan sikap profesionalisme dan amanah sudah berlalu. Sekali lagi mereka gagal. Kini ujian kredibiliti beralih kepada badan kehakiman.

Mahkamah Tinggi akan mendengar dua permohonan penting pada 1 dan 8 Julai ini bersabit kes berkenaan.

Pada 1 Julai Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah akan mendengar permohonan Anwar untuk mendapatkan bahan-bahan bukti daripada pendakwaraya.

Keenggan pendakwaraya berbuat demikian adalah kekangan terbaru yang dihadapi peguam Anwar untuk menyediakan pembelaan tuntas.

Walaupun perbicaraan kes liwat dijadualkan bermula 8 Julai depan, pejabat Pendakwa Raya masih enggan membekalkan peguam Anwar dengan pita rakaman CCTV yang asal yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara dari tarikh 25 Jun hingga 27 Jun 2008.

Begitu juga dengan contoh DNA, keterangan saksi dan Saiful serta kenyataan polis.

Sikap pendakwaraya yang tidak professional ini mirip konspirasi 1998 dan memerlukan campurtangan mahkamah demi kredibiliti sistem perundangan negara.

Hakim Datuk Zabidin tidak boleh memberi ruang untuk menimbulkan andaian bahawa mahkamah bersekongkol dalam menafikan Anwar pembelaan yang sebaik mungkin sebagaimana yang menjadi haknya sebagai tertuduh.

Prinsip sama juga harus diutamakan pada 8 Julai, apabila hakim yang sama mendengar permohonan Anwar bagi membatalkan pertuduhan itu kerana ia berniat jahat dan menyalahi proses mahkamah.

Berasaskan affidavit 40muka yang diberi kepada mahkamah, jelas Anwar mempunyai alasan kukuh untuk membuat permohonan itu.

Laporan perubatan HKL, Hospital Pusrawi yang mendapati tidak ada tanda-tanda Saiful di liwat, pelakon-pelakon konspirasi 1998 yang turut mendalangi kes kali ini, urutan peristiwa sebelum dan selepas Saiful membuat laporan polis diperjelaskan dalam dokumen mahkamah berkenaan.

Semuanya menjurus kepada satu rumusan: pendakwaan terhadap Anwar sekali lagi dicemari dengan kepentingan peribadi dan dibuat atas pertimbangan politik.

Rakyat meletakkan harapan tinggi kepada Mahkamah untuk tidak mengheret mereka kepada satu lagi episod yang mirip konspirasi 1998. Negara telah bergerak ke depan meninggalkan detik hitam itu.

Begitu juga dengan Anwar yang pada usia 62 tahun hanya mahu ruang untuk meneruskan perjuangan politik yang didokongnya sekian lama.

Hakikat ialah siaran ulangan konspirasi 1998 terhadap Anwar sudah bermula.

Namun mahkamah Julai ini mempunyai peluang bersejarah memastikan siaran itu tidak sekali lagi berkesudahan dengan rekacipta bukti,dan keterangan palsu yang diatur oleh polis dan pendakwaraya diguna untuk menyampaikan penghakiman berfitnah.

sumber suara keADILan

0 comments:

Post a Comment